Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 12 Rejab — Ahli Parlimen PKR menggesa peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla bersabar dan tidak mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke Majlis Raja-Raja.
Hassan Abdul Karim berkata cadangan itu boleh mencetuskan krisis perlembagaan kerana Anwar perlu memberi penjelasan kepada Parlimen.
“Dengan rendah hati dan hormat kepada sahabat saya peguam kanan Haniff Khatri supaya bersabar dulu. Jangan cepat hendak menyalahkan Perdana Menteri atau pun Peguam Negara.
“Lebih penting daripada itu saya nasihatkan janganlah mengheret negara kita ke kancah krisis perlembagaan berkaitan isu titah adendum tersebut.
“Biarlah mahkamah merungkai segala kekusutan,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas cadangan Haniff Khatri.
Haniff semalam memohon Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan keingkaran Anwar dan Peguam Negara mengakui kewujudan titah adendum.
Katanya, sikap berdiam diri Anwar dan tidak memperakui titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 wajar dipersoalkan.
Hassan berkata cadangan Haniff yang ingin melibatkan Majlis Raja-Raja adalah satu tindakan bahaya yang boleh membawa kepada krisis Perlembagaan dalam negara.
“Tidak ada kuasa Majlis Raja-Raja untuk membincangkan apa yang dipanggil oleh Haniff tentang keingkaran Perdana Menteri mengakui kewujudan titah adendum sebelum ini.
“Tempat yang sesuai untuk Perdana Menteri dirujuk untuk dibincang malah dibahaskan ialah di Parlimen dan bukannya di persidangan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata Haniff juga perlu menyedari Perkara 145 (4) Perlembagaan Persekutuan tentang tugas Peguam Negara.
Katanya, Fasal (4) menyatakan dalam melaksanakan tugasnya, Peguam Negara berhak untuk didengar di dalam mana-mana mahkamah atau tribunal persekutuan.
“Hendaklah diberi keutamaan daripada mana-mana orang lain yang hadir di hadapan mahkamah atau tribunal itu.
“Dalam hal ini Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong adalah bersifat tribunal.
“Saya percaya Peguam Negara atau peguam persekutuan pasti akan menjelaskan adakah titah adendum itu dibentangkan atau tidak dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: