Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 12 Rejab — Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel membayangkan gencatan senjata di Gaza mampu dimuktamadkan jika Hamas membebaskan tahanan segera.
Jack Lew berkata rundingan sedang giat dijalankan dalam memastikan tahanan warga AS dibebaskan, lapor Times of Israel.
“AS mendesak pembebasan tujuh tahanan yang empat daripadanya sudah meninggal dunia.
“Esok boleh jadi berlakunya gencatan senjata dan penderitaan warga Gaza dihentikan jika Hamas membebaskan tahanan,” katanya.
Dalam usaha menyegerakan proses gencatan senjata, Perdana Menteri Israel semalam mengumumkan delegasi kanan sudah dihantar ke Qatar.
Benjamin Netanyahu berkata pasukan yang berlepas malam tadi disertai Ketua Mossad David Barnea, Pengarah Shin Bet Ronen Bar, Ketua Tebusan Tentera Nitzan Alon dan penasihat politiknya Ophir Falk.
Keputusan menghantar delegasi kanan itu dibuat selepas Netanyahu menilai keadaan semasa bersama pegawai kanan AS.
Sementara itu, desakan waris mangsa tahanan di Gaza terus diperhebat selepas tentera penjajah Israel (IOF) menemui tebusan pasangan anak-beranak di Gaza.
Peserta demonstrasi, Shiri Albag mendakwa Youssef Ziyadne dan anaknya Hamza terpaksa menjadi korban ekoran kelewatan Netanyahu membuat keputusan.
Demonstrasi berlarutan di Tel Aviv dan Baitulmuqaddis malam tadi mendesak rundingan gencatan senjata dipercepat.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: