Oleh Kamil Awang
BANGI, 9 Rejab — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dipecat ekoran video yang tidak sensitif kepada agama Islam.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata ini bukan kali pertama Datuk Seri Tiong King Sing membuat onar namun tiada tindakan daripada kerajaan.
“Kita mahu kerajaan memecat menteri yang tidak ada integriti dan sikap tidak sensitif terhadap umat Islam dan menteri ini menimbulkan banyak masalah kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TV Pertiwi mengulas video awal promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang tular di media sosial.
Katanya, video awal itu boleh dipersoalkan kerana gagal mempamerkan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia.
“PERKASA berasa bimbang apabila melihat klip video tersebut tidak memaparkan syiar Islam seperti masjid dalam promosinya.
“Adakah ini merupakan salah satu penafian yang sedang dibuat oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)?
“Mengapa tempat beribadah bukan beragama Islam ada dalam video ini tetapi rumah ibadat orang Islam seperti masjid tidak dipaparkan dalam video tersebut?” soalnya.
Irwan Fahmi berkata penerbitan video awal itu menggambarkan King Sing tidak menghormati agama Islam yang menjadi anutan kaum majoriti di Malaysia.
Katanya, pelancong bukan sahaja tertakluk kepada negara China dan Malaysia sudah cukup dikenali sebagai destinasi pelancongan dunia.
“PERKASA menggesa MOTAC untuk menjawab segala persoalan yang bermain di minda rakyat mengapa seperti menafikan kewujudan syiar Islam di negara ini.
“PERKASA juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menilai semula menteri pelancongan yang sedia ada dalam kabinet kerajaan Malaysia.
“Sebelum ini pun sudah beberapa kali berlaku kejadian seperti ini termasuk kebudayaan orang Melayu ditiadakan dalam promosi kebudayaan negeri Pulau Pinang,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: