Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Khamis – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merakam percakapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zanuldin berhbung hantaran palsu berkaitan Perdana Menteri di media sosial.
Menurut SKMM, wakil rakyat daripada parti PAS itu dipanggil pada 7 Januari lepas bagi membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“SKMM menerima aduan orang ramai berhubung akaun-akaun media sosial di platform Facebook yang didapati menyebarkan suatu hantaran palsu mengenai Perdana Menteri.
“Hasil siasatan mendapati, kebanyakan akaun terbabit merupakan akaun palsu. Namun pihak SKMM telah mengenal pasti bahawa salah satu daripada akaun yang diadukan adalah milik ADUN Sungai Burong, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, SKMM berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan bersama PDRM, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan.
Katanya, analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“SKMM memohon orang ramai untuk berhati-hati apabila memuat naik sebarang hantaran di media sosial dan memastikan maklumat yang disebarkan adalah benar dan sahih,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI