Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Rabu – Ketiadaan paparan masjid dalam video montaj pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana ia hanya untuk pelancaran ringkas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata, tujuan utama video montaj berdurasi 41 saat itu ialah untuk mempromosikan pelancongan, keindahan seni, budaya dan produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan meliputi perpaduan, perkembangan ekonomi serta hala tuju negara ke hadapan, bukannya mengenai agama atau perkauman.
Beliau berkata, fokus utama kementerian itu adalah untuk menampilkan keunikan Malaysia secara inklusif.
“Malaysia mempunyai pelbagai keindahan dan keunikan di negara ini, termasuk seni bina masjid yang memukau.
“Untuk itu, elemen-elemen tersebut telah dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci serta memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus, di mana video dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Mana-mana elemen yang menonjolkan seni, budaya dan aya tarikan pelancongan Malaysia, secara menyeluruh akan disertakan dalam video tersebut seperti Silat, tarian Ngajat dan Tarian Sumazau yang melambangkan keindahan budaya dan semangat perpaduan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini memuat naik video montaj dari Tourism Malaysia itu dan mendakwa ia mengundang persoalan apabila tiada paparan masjid dalam video berkenaan, namun kelihatan imej rumah ibadat agama lain.
Mengulas perkara itu, King Sing meluahkan rasa kesal dan mendakwa terdapat pihak yang memanipulasi isu tersebut sebagai sentimen agama dan perkauman serta menjadikan ia sebagai bahan perpecahan antara masyarakat.
“Sikap ekstremis seperti inilah yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial kita, bukan usaha promosi yang dilakukan oleh kementerian.
“Saya juga amat menentang tindakan segelintir pihak yang memutar belitkan usaha kami sebagai satu agenda yang bercanggah dengan semangat Malaysia MADANI,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI