Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 8 Rejab — Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) memaklumkan enam pegawai pemeriksa kenderaannya digantung tugas serta-merta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata pihaknya memandang serius dan tidak akan bertolak-ansur membabitkan integriti operasi pemeriksaan kenderaan, lapor BERNAMA.
“Seperti yang sudah berkali-kali saya tegaskan, PUSPAKOM tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah rasuah.
“Sekiranya terdapat bukti kesalahan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan yang terlibat dalam kegiatan seperti ini.
“Hal ini termasuklah mereka yang bersekongkol dengan sindiket dan menjalankan aktiviti meluluskan pemeriksaan kenderaan secara tidak sah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan semalam mengulas tangkapan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesahkan lapan individu termasuk enam pegawai pemeriksa kenderaan PUSPAKOM disyaki terbabit sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan ditahan.
Tan Sri Azam Baki berkata bagaimanapun enam pegawai pemeriksaan itu sudah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil.
Katanya, dua lagi suspek iaitu ‘runner’ yang dilantik enam pegawai itu direman lima hari bermula semalam hingga Sabtu.
Sehubungan itu, Mahmood Razak berkata PUSPAKOM sedang menjalankan siasatan dalaman bagi menjejaki kakitangan lain yang terlibat untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.
“PUSPAKOM tidak akan melindungi sesiapa pun yang terbabit dengan jenayah rasuah,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/