Nak jayakan Reformasi Pendidikan, pihak berkuasa kena berani bentangkan data terkini

Oleh Siti Fatimah Ishak

 

BANGI, 7 Rejab – Pihak berkuasa termasuk Kementerian Pendidikan perlu berani membentangkan semua data terkini mengenai situasi pendidikan negara sekiranya benar-benar mahu menjayakan Reformasi Pendidikan.

 

Sekali pun nanti akan ada data yang menunjukkan kelemahan dan kekurangan yang wujud di dalam sistem pendidikan negara, itu hanyalah langkah pertama untuk menjayakan Reformasi Pendidikan.

 

Demikian tegas Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad ketika mengulas mengenai perkembangan kemerosotan pencapaian pendidikan murid di negara kita menerusi laporan PISA 2022, Timss 2023 dan Bank Dunia 2024.

 

Malaysia dilapor mencatat kemerosotan dalam pencapaian ketiga-tiga domain literasi yang ditaksir iaitu Matematik, Saintifik, dan Bacaan, dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa/ Programme for International Student Assessment (PISA) 2022 berbanding tahun 2018.

 

PISA adalah satu program anjuran Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi/ Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), iaitu sebuah pertubuhan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global, dengan keahlian 38 buah negara.

 

“Itu fakta dari luar negara. Data-data dalam negara oleh Persatuan STEM Kebangsaan pula mengesahkan murid-murid aliran sains tulen semakin merosot.

 

“Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pula mengesahkan bilangan guru yang bersara awal semakin meningkat.

 

“Data KKM pula mengesahkan semakin ramai murid dan guru mengalami tekanan emosi dan kemurungan.

 

“Data PDRM juga mengesahkan kes juvana melibatkan murid-murid sekolah juga semakin meningkatkan.
Ini semua data rasmi yang sebahagiannya boleh dicapai secara terbuka untuk kita baca dan teliti,” katanya.

 

Atas sebab itu, Dr Anuar berpendapat, Reformasi Pendidikan perlu dilakukan segera bagi mengatasi masalah yang semakin meruncing ini.

 

Kita semua mahu lakukan Reformasi Pendidikan, ibu bapa dan guru-guru juga mahukan Reformasi Pendidikan.

 

“Justeru, langkah pertama untuk menjayakan Reformasi Pendidikan ialah keberanian pihak berkuasa membentangkan semua data terkini tentang situasi pendidikan negara.

 

“Jika pemimpin pendidikan kita tidak bersedia untuk mengakui kelemahan dan kekurangan yang ada di dalam sistem pendidikan, percayalah, kita tidak akan dapat menjayakan Reformasi Pendidikan seperti yang dihasratkan.

 

“Tanpa data, laungan Reformasi Pendidikan tidak lebih dari sekadar ‘laungan retorik ‘ semata-mata,” katanya.

 

IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI

 

http://www.wasap.my/60178217131/iklanpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tentangan DAP terhadap kerjasama UMNO, PAS sangat jelas – Dr Mahathir

Next Post

DAPSY lapor polis, dakwa hantaran kiasan Ahmad Fadhli hina institusi Diraja

Related Posts