Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 6 Rejab — Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) menggesa masalah bilangan calon tidak hadir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu ditangani lebih awal.
Timbalan Pengarahnya, Dr Anuar Ahmad berkata kaunselor sekolah perlu memainkan peranan penting mengesan ragam pelajar lebih awal.
“Sistem pengesanan yang cekap di sekolah perlu diperkenalkan di mana kaunselor sekolah memainkan peranan penting dalam mengenal pasti pelajar berisiko.
“Pelajar kehilangan motivasi kerana mereka merasa tertinggal dalam pembelajaran dari peringkat awal terutamanya di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3.
Akibatnya, ramai yang memilih untuk tidak hadir peperiksaan SPM. Antara faktor utama yang menyebabkan ketidakhadiran pelajar SPM adalah ponteng sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook milik MINDA, institut di bawah Universiti Kebangsaan Malaysia.
Menteri Pendidikan minggu lalu mengesahkan kementeriannya sedang mengemas kini data berkaitan jumlah pelajar yang belum mengesahkan kehadiran mereka.
Fadhlina Sidek berkata peratusan kehadiran calon SPM 2024 dijangka mencapai 97 peratus namun sekitar 10,000 calon masih belum mengesahkan kehadiran mereka.
Anuar berkata bilangan pelajar tidak hadir SPM sejak beberapa tahun kebelakangan ini membimbangkan walaupun ia berkurang berbanding 2022 iaitu lebih 14,000 calon.
Katanya, ponteng sekolah dan masalah disiplin lain membuatkan mereka tidak berminat untuk meneruskan pembelajaran.
“Pelajar tidak hadir SPM sebenarnya mengalami masalah seperti sering ponteng sekolah atau mempunyai isu disiplin yang menghalang mereka daripada meneruskan pembelajaran.
“Ada juga pelajar yang berhenti sekolah untuk bekerja atau terlibat dalam masalah peribadi dan mendirikan rumah tangga.
“Faktor-faktor ini turut menyumbang kepada keputusan mereka untuk tidak hadir peperiksaan SPM,” katanya.
Sehubungan itu, Anuar berkata pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) wajar menjadi jalan keluar kepada pelajar yang tidak lagi berminat dengan akademik.
Katanya, pelajar bermasalah harus dikenal pasti lebih awal agar mereka boleh memilih aliran TVET demi masa depan yang lebih cerah.
“TVET dapat memberi peluang kepada pelajar yang kurang berminat dalam bidang akademik untuk terus maju.
“Penyertaan dalam TVET seharusnya dimulakan lebih awal supaya pelajar dapat memilih bidang yang sesuai dengan minat mereka sebagaimana negara Jerman.
“Hanya sedikit pelajar berjaya dipujuk untuk kembali menduduki peperiksaan selepas tidak hadir menunjukkan intervensi perlu dilakukan lebih awal di peringkat sekolah.” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: