Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 6 Rejab — Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini membenarkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan semakan pengesahan titah adendum.
Dua panel hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan manakala Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentang.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan rayuan Najib dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman dapat diputuskan.
Najib, 72, pada 3 Julai tahun lalu merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menyemak titah adendum.
Hakim, Datuk Amarjeet Singh berkata empat afidavit yang menyokong semakan Najib tidak boleh diterima kerana ia hanyalah khabar angin semata-mata.
Titah adendum merupakan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau memfailkan pengampunan diraja pada September 2022 dan Lembaga Pengampunan bersetuju mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda RM50 juta.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: