Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Meskipun UMNO membuat keputusan membatalkan himpunan solidariti kepada bekas pemimpinnya, Datuk Seri Najib Razak pada pagi ini, Ketua Pemuda, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tetap hadir memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini mendengar permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam yang lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.
Pada pagi ini, Akmal yang kelihatan memakai baju merah dilihat berada di pekarangan Istana Kehakiman bersama sekumpulan penyokong Najib.
Beliau turut memuat naik hantaran beberapa keping gambar selain kapsyen ‘anak jantan’ bagi menzahirkan sokongannya bersama orang ramai di situ.
“Anak jantan hadir sendiri bersama rakyat.
“Bukan duduk dalam hotel dan pergunakan rakyat,” katanya di Facebook hari ini.

Selain Akmal, Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong turut hadir memberi sokongan selain berkongsikan pantun di media sosial beliau.
“Semalam tak sempat nak sertai saudara Dr Akmal Saleh jogging. Hari ini terserempak pula dengan ramai sahabat seperjuangan semasa brisk walk di Putrajaya.
“Apa guna kepuk di ladang, kalau tidak berisi padi, apa guna jawatan disandang, kalau tidak berani mati,” katanya.

Sementara itu, beberapa pemimpin dari Perikatan Nasional turut kelihatan hadir termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung PAS, dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Selain itu, kelihatan juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan beberapa lagi wakil rakyat PN.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI