Oleh Kamil Awang
BANGI, 5 Rejab — Ahli Parlimen PKR menegaskan pihak yang akan berhimpun di hadapan Istana Kehakiman esok tidak menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Hassan Karim berkata kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara pada Jumaat sama sekali tidak melarang mana-mana individu untuk berhimpun.
“Adakah orang ramai yang berhimpun esok di hadapan Mahkamah Rayuan dianggap menderhaka kepada Agong? Jawapannya tidak.Tidak sama sekali.
“Kenyataan Istana Negara bertarikh 3 Januari hanya menegas dan mengulangi apa yang dinyatakan oleh Jabatan Peguam Negara bertarikh 28 Disember 2024.
“Kenyataan Istana Negara 3 Januari tersebut tidak membatalkan hak rakyat berhimpun seperti disebut di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada TV Pertiwi hari ini mengulas himpunan solidariti kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, Malaysia sebuah negara demokratik dan bukannya feudal mutlak manakala kenyataan Istana Negara pada Jumaat hanya menjelaskan Perkara 42 Perlembagaan.
“Kenyataan Istana Negara menegaskan bahawa Agong memiliki kuasa prerogatif memberi ampun, tunda hukuman dan lega hukum bagi kesalahan di dalam Wilayah Persekutuan.
“Perlu dijelaskan bahawa undang-undang yang tertinggi dipakai di negara kita ialah Perlembagaan Persekutuan bukannya dekri atau titah dari Istana Negara.
“Hal ini bersesuaian dengan dasar Malaysia yang urusan kenegaraannya berteraskan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” katanya.
Hassan berkata selain tidak menderhaka, himpunan esok juga menterjemah semangat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pihak polis perlu menghayati semangat Akta Perhimpunan Aman 2012 serta memahami niat dan tujuan Parlimen menggubalnya.
“Saya pernah menyatakan bahawa saya tidak bersetuju [himpunan itu]. Tetapi itu hanyalah pendirian peribadi saya sahaja. Ia tidak penting.
“Pendirian peribadi saya tidak boleh menafikan hak ahli keluarga Najib dan penyokong Perdana Menteri keenam dari seluruh negara termasuk ahli UMNO, PAS dan BERSATU.
“Kepada sesiapa yang datang berhimpun esok secara aman di hadapan Mahkamah Rayuan maka rayakanlah dan nikmatilah hak anda yang dijamin Perlembagaan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: