Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 4 Rejab — Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) menggesa kerajaan menghentikan penganjuran konsert melalaikan.
Exco Undang-Undang dan Hak Asasinya, Siti Nur Zulaikha Abd Kadir berkata konsert berkenaan dicemari najis dadah dan merosakkan akhlak belia Islam.
“Cukuplah penganjuran konsert sebegini diberikan kelulusan oleh pihak berkuasa. Bukan sahaja menjelang tahun baharu malah hari-hari biasa juga perlu dilarang ia diadakan.
“Tidak pasti apakah motif dan tujuan kebenaran menjalankan konsert diluluskan atau ada piawai tertentu yang ingin dicapai.
“WAFIQ menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap penganjur agar satu kayu ukur yang baik dapat dimanifestasikan kepada negara kelak,” katanya.
Beliau mengulas konsert Pinkfish yang meragut dua nyawa pengunjungnya akibat pengambilan dadah jenis ecstasy.
Katanya, Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) perlu mengambil tindakan tegas bagi mengelak insiden sama berulang.
“Pihak kerajaan perlu mengkaji dan memastikan kelompongan dalam perundangan dipenuhi bagi mengelak insiden-insiden berkibtlatkan hedonisme seperti ini berulang kembali.
“PUSPAL perlu mewujudkan satu sistem permohonan untuk mengadakan konsert yang lebih tegas dan efisyen di samping penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.
“Berapa banyak lagi nyawa yang harus berakhir dengan cara begini? Berapa ramai ahli keluarga yang perlu menangisi pemergian insan tersayang,” soalnya.
Nur Zulaikha berkata amat mengejutkan penganjuran konsert berkenaan berlaku di Malaysia apabila remaja bertudung memuatkan kehadiran mereka di media sosial.
Katanya, ibu yang masih menyusukan bayi juga sanggup meninggalkan anak yang masih kecil demi menghadiri konsert yang melalaikan.
“Sehingga yang memakai tudung pun bangga memuat naik video berada di konsert tersebut atas alasan tidak mahu tampak ketinggalan dan untuk dijadikan kandungan murahan.
“Ada ibu muda yang sanggup memaparkan dirinya memerah susu badan dalam ruangan konsert Pinkish lalu menghadiri konsert semata-mata untuk mengejar kepuasan.
“Jika dilihat hantaran video belia remaja di laman media sosial, seakan-akan tidak percaya konsert sedemikian dapat dianjurkan di Malaysia sendiri,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.ig.com/tvpertiwiofficial/
https://www.fb.com/tvpertiwi