Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Jumaat – UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dirancang akan diadakan pada 6 Januari depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara.
Katanya, UMNO akur atas segala saraan titah tuanku agar menghormati kuasa prerogatif Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Najib.
“UMNO menjunjung hormat titah tuanku Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda dan lega hukum bagi apa jua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana titah Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, ahli UMNO dan PAS dilaporkan akan mengadakan himpunan solidariti di Istana Kehakiman di Putrajaya pada 6 Januari depan sebagai tanda solidariti kepada Najib.
Istana Negara pada Jumaat mengingatkan semua pihak menghormati Perlembagaan dan undang-undang selain menjelaskan bahawa permohonan untuk pengampunan dan pengurangan hukuman perlu dikemukakan oleh banduan sebelum ia dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI