Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 3 Rejab — Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) mendakwa pihaknya tidak menerima tayar lori yang mengakibatkan kemalangan maut lima sekeluarga.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, siasatan yang dilakukan PUSPAKOM hanya melibatkan lori terbabit, lapor Malaysia Gazette.
“Laporan yang PUSPAKOM hantar kepada MIROS itu mengikut siasatan kami, punca berlaku kejadian tayar tertanggal daripada gandarnya.
“Gandar itu ada masalah, kami musykil sebab usianya baru setahun. Kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan seterusnya,” katanya dalam satu sidang media semalam.
Tujuh mangsa kemalangan maut manakala 33 lagi individu cedera membabitkan tiga kenderaan di Melaka pada 23 Disember lalu.
Lima mangsa yang meninggal dunia merupakan pemandu dan penumpang Toyota Estima membabitkan dua lelaki, dua wanita dan seorang bayi perempuan.
Kemalangan itu dipercayai akibat tayar sebuah lori panjang tercabut dan tayar berkenaan berada di tengah lebuhraya menjadi punca kemalangan.
Mahmood Razak berkata PUSPAKOM sudah menyerahkan laporan pemeriksaan lori terbabit kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) semalam.
Katanya, MIROS dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan lanjut selepas menerima laporan berkenaan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI