Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 3 Rejab — Syarikat peranti komunikasi, Apple bersetuju membayar AS$95 juta (RM427 juta) bagi saman yang difailkan lima tahun lalu berhubung pencerobohan privasi.
Penyelesaian yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Oakland, California itu dijangka akan menghentikan tuduhan Apple menggunakan aplikasi Siri bagi merekod perbualan penggunanya, lapor AP.
Apple didakwa menggunakan Siri bagi merekod perbualan pengguna iPhone dan peranti mereka yang lain.
Rakaman itu didakwa akan tetap berfungsi walau ia tidak diaktifkan atau pengguna tidak menyebut “Hai Siri”.
Berdasarkan fakta kes, rakaman berkenaan akan dikongsikan kepada syarikat yang berminat untuk memahami tingkah laku pengguna Apple.
Tuduhan berkenaan mencemarkan imej Apple yang selama ini menyatakan komitmen untuk melindungi privasi penggunanya.
Apple bagaimanapun tidak menyatakan kesalahan mereka dalam penyelesaian itu yang akan didengar di hadapan hakim Jeffrey White.
Kes berkenaan dijangka akan didengar mahkamah pada 14 Februari ini bagi menetapkan terma dan syarat penyelesaian.
Jutaan pengguna Apple yang menggunakan peranti itu sejak September 2014 dijangka menerima manfaat jika mahkamah memberikan kelulusan.
Mereka yang memfailkan tuntutan dijangka menerima AS$20 (RM90) bagi setiap peranti dan bayaran mungkin ditambah atau dikurangkan berdasarkan jumlah tuntutan.
Kira-kira tiga hingga lima peratus pengguna yang layak akan memfailkan tuntutan dan setiap pengguna hanya dibenarkan menuntut maksimum lima peranti.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI