Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 2 Rejab — DAP mencabar Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengharamkan parti itu menggunakan saluran mahkamah.
Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata Hadi wajar menyahut cabaran itu selepas melemparkan pelbagai tuduhan kepada DAP.
“Sekiranya Hadi kekal dengan dakwa-dakwi melampau, saya sarankan supaya Hadi cabar sahaja DAP mengikut saluran undang-undang agar DAP diharamkan.
“Tetapi malangnya, Hadi tidak berani lakukan demikian selain terus-menerus bermain sentimen semata-mata.
“Bagi saya, niat Hadi tidak lain sekadar untuk kepentingan politik sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Hadi dalam satu kenyataan semalam berkata DAP menyambung teori sekularisme yang ditinggalkan penjajah sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti.
Katanya, sekularisme menjadi perjuangan disuarakan dengan lantang mencabar Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Dinyatakan dengan terang dan nyata dalam fasal 2 matlamat DAP iaitu menegakkan sekularisme yang dihasratkan oleh Suruhanjaya Reid.
“DAP menerima keahlian semua kelompok manusia termasuk daripada kalangan paling ekstrem yang tidak percaya akan adanya Tuhan.
“Malah daripada semua ideologi termasuk kalangan komunis yang paling ekstrem dan kalangan liberal yang paling bebas,” katanya.
Sheikh Umar berkata Hadi seperti sudah terlupa bahawa PAS pernah bekerjasama dengan DAP semasa era Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.
Katanya, Hadi dilihat bersifat selektif dalam hujah agamanya mengikut selera dan kepentingan sendiri.
“Sedarkah Hadi bahawa DAP dan semua parti yang sah dalam politik negara ini sudah bergerak bawah kerangka Perlembagaan dan undang-undang yang sama termasuklah PAS?
“Sedarkah Hadi sewaktu PAS dan Perikatan Nasional menjadi kerajaan, DAP tetap ada sebagai parti politik pembangkang yang sah?
“Mengapa ketika itu tidak ditimbulkan dakwaan seperti yang beliau keluarkan sekarang ini? Adakah Hadi senyap ketika itu kerana PAS di tampuk kuasa?” soalnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI