Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 2 Rejab — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa lebih 140 permohonan untuk memasuki utara Gaza dalam tempoh dua bulan lalu ditolak Israel, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan di Wilayah Pendudukan (OCHA), berkata sekatan itu membimbangkan di saat Israel giat menyerang hospital dan petugasnya di Jabalia.
“Tentera Israel terus melancarkan serangan udara di kawasan Jabalia dan sekitarnya yang turut menyasarkan hospital serta petugas kesihatan.
“PBB berusaha mendapatkan akses ke utara Gaza sejak dua bulan lalu namun permohonan itu ditolak lebih 140 kali oleh pihak berkuasa Israel,” kata pegawai kanannya, Jonathan Whittall.
Pesakit dan jururawat Hospital Kamal Adwan kelmarin berkongsi detik hitam bagaimana tentera Israel bertindak kejam menggeledah hospital itu minggu lalu.
Mereka mendakwa tentera Israel mengarahkan mereka menanggalkan pakaian dan berjalan kaki selama dua jam ke bandar Gaza untuk meminta pertolongan.
Serbuan pagi Jumaat itu turut menahan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safiya dan masih belum dibebaskan.
Israel mendakwa Dr Hussam merupakan dalang yang membantu Hamas melancarkan serangan dari dalam kompleks hospital itu.
Whittall berkata keadaan rakyat Palestin yang berada di Jabalia kini membimbangkan apabila hidup dalam kepungan Israel sejak dua bulan lalu.
“Rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa dari utara Gaza seperti Jabalia, Beit Hanoun dan Beit Lahia hidup dalam keadaan yang sangat sukar di sekitar Bandar Gaza,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI