Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 1 Rejab — PAS Pulau Pinang menegaskan parti Islam itu sedia membantu ahli parlimennya, Siti Mastura Muhammad untuk melunaskan saman fitnah terhadap pemimpin DAP.
Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata keputusan itu dibuat selepas menimbangkan kos pilihan raya kecil (PRK) lebih besar jika Siti Mastura muflis.
“Selepas pertimbang kos PRK yang akan bawa mudarat jauh lebih besar, kita akur pilih bayar denda yang kesannya lebih kecil.
“Jika tidak bayar akan diproses notis kebankrapan dan jika bankrap sudah tentu Siti Mastura akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan PRK akan diadakan semula.
“Rayuan untuk minta pengurangan dan penangguhan bayaran sudah dibuat Siti Mastura dan kita tunggu keputusan itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau mengulas laporan media semalam yang mendakwa Siti Mastura mungkin hilang kelayakan sebagai ahli parlimen jika gagal melunaskan saman pemimpin DAP.
Ahli Parlimen Kepala Batas itu disaman RM825,000 selepas mendakwa pemimpin DAP mempunyai kaitan dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Muhammad Fawwaz berkata PAS sedang menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang akan bersidang 23 Januari ini bagi mendengar permohonan Siti Mastura.
Katanya, kutipan itu tidak akan melibatkan dana awam dan hanya berlegar sekitar ahli PAS untuk membantu Siti Mastura.
“Walaupun ini kesalahan satu pihak saja tetapi dalam sirah, ada sahabat yang tersilap, nabi minta bantu sahabat itu.
“Jadi dalam hal ini, kita meminta bantuan dalam kalangan ahli kita sahaja dan tidak membabitkan rakyat kerana ini tanggungjawab parti.
“Kita nak elak daripada PRK, jika ada PRK, semua ahli kena turun, jadi masa, tenaga dan kos banyak digunakan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI