Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 1 SYAABAN — Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyelar kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang mempersoalkan usaha kerajaan untuk membangunkan Gaza.
Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata Rafidah sebagai bekas menteri berpengalaman pastinya mengetahui bantuan Malaysia sekian lama dalam membangunkan Gaza.
“Usaha Malaysia ini bukan baru. Ia sudah berjalan sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Rafidah tahu kerana beliau menteri ketika itu.
“Apakah masa itu apabila kita bantu Palestin maka pembangunan dalam negara dianak tirikan? Lapan dekad Palestin dizalimi.
“Sekolah, hospital dan masjid dibangun dan diruntuh berulang kali oleh rejim Zionis. Maka apakah kali ini kita akan kata, ‘lantak kamulah Palestin!’,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas kenyataan Rafidah yang mempersoalkan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pengumuman Anwar untuk membantu membangunkan Gaza sama sekali tidak meminggirkan kebajikan Malaysia seperti yang pernah diusahakan sebelum ini.
“Ini bukan soal kera di hutan disusui, anak dikendong mati kelaparan. Apabila Aceh dibadai tsunami semua negara kecil-besar, miskin-kaya termasuk Malaysia datang memberi bantuan.
“Itu namanya kemanusiaan. Kerajaan boleh sahaja minta korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) turut bekerjasama,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/