Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 28 Jamadil Akhir — Lebih 590 mangsa banjir yang terjejas di Kelantan dan Terengganu setakat 8.30 malam semalam.
Kesemua mangsa berlindung di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 178 buah keluarga, lapor BERNAMA.
Tanah Merah mencatatkan bilangan mangsa teramai di Kelantan dengan 389 orang yang terdiri daripada 118 keluarga berlindung di 10 PPS.
Machang pula menempatkan 52 mangsa banjir daripada 11 keluarga yang berlindung di di dua PPS.
Manakala satu PPS dibuka di Kuala Krai menempatkan 41 mangsa yang terdiri daripada 12 keluarga.
Terengganu pula mencatatkan 112 mangsa banjir daripada 37 keluarga yang berlindung di empat PPS di Hulu Terengganu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu menjangkakan mangsa banjir di negeri itu akan bertambah susulan hujan yang masih turun malam tadi.
Sementara itu, portal Info Banjir melaporkan paras air di Sungai Golok, Kelantan berada tahap amaran dengan ketinggian 23.4 meter.
Sungai Tersat di Kampung Sekayu dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih di Terengganu turut berada pada tahap amaran.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI