Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 30 Dis — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengesan sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat namun lulus pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Pengarah Kanan Penguatkuasanya, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, penyelia dan kakitangan PUSPAKOM yang terlibat diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ esok, lapor BERNAMA.
“Ia untuk disoal siasat serta satu kertas siasatan akan dibuka dan kemas kini akan diberikan apabila maklumat lanjut diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan operasi mengejut di PUSPAKOM Wangsa Maju, Kuala Lumpur hari ini.
Operasi dua jam yang dijalankan bermula 9.30 pagi tadi berjaya memeriksa 15 lori dan 69 notis saman dikeluarkan serta 29 kenderaan diambil tindakan.
Manakala tujuh kenderaan iaitu lima kereta dan dua lori disita dalam operasi yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MoT), Datuk Jana Santhiran Muniayan.
Muhammad Kifli berkata pihaknya mengesan beberapa kesalahan pemandu lori seperti menggunakan tayar celup yang mungkin meletup pada bila-bila masa.
“Ketua Setiausaha MOT sudah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini.
“Ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan jika tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.
Beliau berkata Op Mengejut hari ini melibatkan 350 pegawai dan anggota bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa di PUSPAKOM mematuhi piawaian ditetapkan.
Katanya, operasi itu dilakukan tanpa memaklumkan lebih awal kepada PUSPAKOM sebagaimana arahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI