Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 27 Jamadil Akhir — Tentera Penjajah Israel (IOF) mengesahkan Pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza ditahan dalam satu operasi memburu “pengganas” semalam.
IOF dalam satu kenyataan semalam berkata Dr Hussam Abu Safiya merupakan suspek yang membantu operasi Hamas dari segi kejuruteraan dan sasaran peluru berpandu.
“Semasa operasi, lebih 240 pejuang Hamas dan suspek aktiviti keganasan ditahan. Sesetengah daripada mereka cuba menyamar sebagai pesakit dan melarikan diri menggunakan ambulans.
“Pasukan Khas Shayetet 13 melakukan serbuan dalam hospital dan berjaya merampas senjata termasuk bom tangan, senjata api dan kelengkapan tentera lain.
“Semasa soal siasat yang dijalankan Unit 504 dan Agensi Keselamatan Israel, ramai pejuang mendakwa mereka mengambil bahagian dalam aktiviti keganasan,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengecam serbuan yang dijalankan IOF apabila kemudahan kesihatan terakhir di Utara Gaza itu tidak berfungsi.
Katanya, serangan sistematik terhadap sistem kesihatan dan pengepungan selama lebih 80 hari di Utara Gaza meletakkan nyawa 75,000 penduduk Palestin dalam bahaya.
“Laporan awal menunjukkan beberapa kawasan hospital terbakar dan rosak teruk semasa serbuan termasuk makmal, unit pembedahan dan jabatan kejuruteraan.
“Terdahulu, 12 pesakit dan seorang petugas kesihatan wanita dilaporkan terpaksa berpindah ke Hospital Indonesia yang musnah dan tidak berfungsi.
“Sebahagian besar kakitangan dan pesakit stabil dipindahkan ke lokasi berdekatan. Selain itu, beberapa orang dibogelkan dan dipaksa berjalan ke arah selatan Gaza,” katanya.
IOF berkata pihaknya berjaya memindahkan 350 pesakit dan petugas kesihatan sebelum operasi manakala 95 pesakit lagi dipindahkan semasa operasi ke Hospital Indonesia.
Katanya, sebanyak 5,000 liter bahan bakar, dua penjana elektrik dan barangan perubatan dihantar ke Hospital Indonesia bagi meruskan operasi penting hospital.
“IOF akan terus bertindak mengikut undang-undang antarabangsa dari segi kemudahan perubatan termasuk di tempat pilihan Hamas meletakkan kemudahan tenteranya,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI