Oleh Kamil Awang
BANGI, 27 Jamadil Akhir — Ahli Parlimen PKR mempersoalkan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) mahu mengelak kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tergugat.
Hassan Karim berkata kenyataan AGC itu menimbulkan keraguan di saat Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan titah adendum tidak lama lagi.
“Mungkinkah hal ini bagi mencari penyelesaian supaya mengelak ketegangan jika UMNO, PAS dan BERSATU bergabung pada 6 Januari menggugat kerajaan pimpinan Anwar.
“Maka dikeluarkan kenyataan media oleh AGC iaitu apa pun berlaku di Mahkamah Rayuan terhadap Datuk Seri Najib Razak tidak menempuh jalan gelap memanjang.
“AGC memberi isyarat awal pengampunan Najib masih boleh dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang,” katanya.
Hasan mengulas kenyataan AGC mendakwa sebarang permohonan pengampunan diraja hendaklah dibuat kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong.
Katanya, PAS cepat menangguk di air keruh apabila mengumumkan penganjuran himpunan besar di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari ini.
“PAS secara rekod mempunyai keupayaan untuk menggemblengkan ahli dan penyokongnya untuk menyertai perhimpunan besar sebelum ini.
“Pemimpin BERSATU sudah menyatakan secara terbuka bahawa BERSATU tiada halangan jika anggotanya turun ke jalan raya pada 6 Januari ini di Putrajaya.
“Dalam masa yang sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengalu-alukan sokongan PAS dan parti lain terhadap isu pengampunan,” katanya.
Beliau berkata perhimpunan 6 Januari di Putrajaya jika menjadi kenyataan, sudah pasti akan menggugat perpaduan kerajaan madani pimpinan Anwar.
Katanya, pemimpin kerajaan campuran sekarang cukup faham kesan politik terhadap siri-siri perhimpunan raksasa oleh rakyat jelata.
“Contohnya perhimpunan BERSIH 1 hingga 5 menjatuhkan kerajaan Najib dan Barisan Nasional yang memerintah Malaysia selama 60 tahun sejak Merdeka.
“Tentu sekali Anwar masih ingat bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 digoncang hebat dengan perhimpunan besar membantah isu ICERD dan Statut Rom.
“Anjuran bersama PAS dan UMNO sehingga akhirnya kerajaan PH tersebut tumbang selepas jadi kerajaan hanya 22 bulan sahaja,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI