Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 25 Jamadil Akhir — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mempersoalkan sambutan Hari Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata sambutan berkenaan menimbulkan persoalan sama ada menterinya, Nga Kor Ming mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
“PERKASA ingin bertanya kepada Kor Ming, apakah yang sedang berlaku di dalam Malaysia ketika ini? Adakah terdapat usaha pihak tertentu untuk menjadikan Malaysia negara Kristian?
“Sebelum ini Hannah Yeoh mengaku melakukan kerja dakwah agama Kristian melalui platform politik dan hari ini KPKT pula menganjurkan sambutan hari natal di pejabat kementerian.
“Apa maksud yang hendak disampaikan oleh pemimpin-pemimpin DAP hari ini? Adakah ianya satu perancangan yang terancang oleh pemimpin yang ada dalam kerajaan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kor Ming menerusi video yang dimuatkan di media sosial pada Selasa menunjukkan sambutan Hari Krismas di KPKT.
Beliau berkata sambutan berkenaan menunjukkan kemajmukan kaum di Malaysia dan sambutan sama akan dibuat untuk Tahun Baharu Cina bulan depan.
Irwan Fahmi berkata sambutan Hari Natal anjuran KPKT tidak seharusnya berlaku apatah lagi bercanggah dengan Perlembagaan.
Katanya, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan undang-undang undang negeri dan Wilayah Persekutuan boleh menyekat pengembangan apa juga doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.
“PERKASA beri amaran kepada menteri-menteri yang bukan beragama Islam, jangan cuba berlaku biadap dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai rakyat Malaysia kamu seharusnya akur dan patuh dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan hari ini,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI