PCHR kecam Israel sengaja bunuh lima wartawan Gaza

Oleh Wartawan TV Pertiwi 

 

BANGI, 25 Jamadil Akhir Pusat Hak Asasi Manusia Rakyat Palestin (PCHR) mengecam serangan Israel yang mengakibatkan lima wartawan di Gaza terbunuh. 

 

Pengarahnya, Raji Sourani berkata serangan itu sengaja menyasarkan pemberita bagi membolehkan Israel menutup jenayah pembunuhan beramai-ramainya. 

 

“Ini bukan peperangan. Ini adalah keganasan berterusan Israel terhadap kempen pembunuhan beramai-ramainya terhadap rakyat Palestin. 

 

“Amerika Syarikat dan negara Eropah bersubahat dalam kempen ini dengan berterusan membekalkan senjata dan peluru kepada Israel. 

 

“Usaha berkenaan memberikan perlindungan politik dan perundangan kepada Israel terhadap semua jenayah mereka terhadap rakyat kami,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Lima wartawan saluran Al-Quds semalam terbunuh selepas van yang dinaiki mereka diserang dron Israel ketika berada berhampiran Hospital Al-Awda di bandar Gaza. 

 

Van yang diselubungi api mengorbankan lima petugas media Faisal Abdullah, 27 tahun, Ibrahim Jamal (38), Fadi Ihab (22) dan Mohammed Iyad (23).  

 

Seorang jurufoto Ayman Nihad Abdel Rahman, 28, turut terkorban dalam serangan dron van yang dalam perjalanan ke khemah penduduk Al-Nussairat. 

 

PCHR berkata tentera penjajah Israel (IOF) berterusan menyasarkan pemberita dalam kempen ketenteran mereka di Gaza sejak 15 bulan lalu.

 

Katanya, bentuk serangan Israel jelas menunjukkan mereka mahu membunuh semua wartawan yang melaporkan jenayah mereka secara audio dan video. 

 

“Jumlah wartawan yang dibunuh IOF sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada 201 orang. Daripada jumlah itu, 20 daripadanya adalah wartawan wanita. 

 

“Majoriti (191 orang) dibunuh melalui serangan udara dan dron manakala empat lagi ditembak oleh IOF. Kebanyakan mereka dibunuh dalam serangan di rumah bersama keluarga. 

 

“Walau wartawan memakai pengenalan mereka dan diketahui IOF, mereka sengaja menjadi sasaran dan dibunuh,” katanya. 

 

PCHR menggesa masyarakat antarabangsa mengutuk tindakan menyasarkan wartawan dengan menekan Israel menghentikan serangan dan melindungi wartawan. 

 

Katanya, menyasarkan wartawan melanggar hak kebebasan media yang dijamin dalam undang-undang antarabangsa.

 

IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PAS ‘tanggung halal’ fitnah, bantu saman MP, kata Puad

Next Post

Hannah Yeoh nafi agenda murtad, jadikan Malaysia negara Kristian

Related Posts