Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 25 Jamadil Akhir — Majlis Peguam menggesa kerajaan negeri Terengganu tidak melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata hukuman berkenaan kejam, tidak berperikemanusiaan dan merendahkan martabat pesalah, lapor BERNAMA.
“Kami mengulangi pendirian yang tidak berbelah bahagi terhadap semua bentuk hukuman berat, termasuk rotan atau sebat di khalayak ramai, kerana ia sememangnya kejam.
“Tidak berperikemanusiaan dan merendahkan martabat. Hukuman seperti itu menjatuhkan maruah individu.
“Hukuman yang dijalankan mesti sejajar dengan komitmen Malaysia untuk menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tukang rumah, Mohd Affendi Awang akan disebat hari ini di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Affendi akan disebat enam kali selepas solat Jumaat sebagaimana diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu.
Dia dihukum sebat di khalayak ramai selepas didapati bersalah berkhalwat untuk kali yang ketiga.
Mohd Ezri berkata pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai melebihi had bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Katanya, ia melangkaui apa yang ditetapkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang membenarkan sebat, tetapi tidak dilakukan secara terbuka.
“Malaysia bercita-cita untuk menjadi sebuah negara yang dihormati kerana mematuhi piawaian hak asasi manusia.
“Namun membenarkan hukuman sebatan di khalayak ramai melanggar prinsip hak asasi manusia antarabangsa.
“Termasuk yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Kejam (UNCAT), ” katanya.
Beliau berkata beberapa negara majoriti Islam sudah meratifikasi UNCAT dan perlu diikuti oleh Malaysia.
“Kami menggesa agar hukuman berbentuk penderaan di Malaysia dimansuhkan sepenuhnya.
“Sistem keadilan mesti berusaha mengimbangi moral, belas kasihan, dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI