Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 25 Jamadil Akhir — 9Israel sekali lagi melanggar perjanjian gencatan senjata di Lubnan apabila menceroboh selatan negara itu semalam.
Tentera penjajah Israel (IOF) menceroboh wilayah Wadi Al-Hujeir dengan melepaskan tembakan, lapor Anadolu.
Pasukan bersenjata Lubnan bagaimanapun sudah menutup semua akses menuju wilayah tersebut selepas serangan mendadak Israel.
Serangan Israel itu turut mengakibatkan penduduk di kota Qantara berpindah ke desa Ghandourieh untuk menyelamatkan diri.
Perjanjian gencatan senjata yang dimeterai menyebut Israel perlu menarik balik pasukannya secara berfasa dan tentera Lubnan perlu dikerahkan ke selatan dalam tempoh 60 hari.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan lebih 4,000 nyawa terkorban dan lebih 16,000 penduduk cedera sejak tercetusnya Taufan Al-Aqsa pada Oktober tahun lalu.
Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) 12 Disember lalu memaklumkan IOF berundur dari selatan Lubnan melalui satu perjanjian gencatan senjata.
CENTCOM dalam satu kenyataan berkata Jeneral Michael Kurilla yang tiba di Lubnan menyaksikan sendiri rundingan berkenaan bersama Komander Pasukan Bersenjata Lubnan, Jeneral Joseph Aoun.
Berdasarkan perjanjian itu, Angkatan Bersenjata Lubnan di Al-Khiam, Lubnan akan menggantikan IOF dalam rundingan yang pertama untuk pengunduran tentera penjajah.
IOF berkata Briged Ketujuh mereka sudah selesai dalam misi mereka di Khiam dan tentera Lubnan dikerahkan ke kawasan tersebut.
Pengunduran IOF dari selatan Lubnan merupakan sebahagian kandungan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai hujung bulan lalu.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI