Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 24 Jamadil Akhir — Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan mengesahkan pesawat yang terhempas di barat negara itu semalam meragut 38 nyawa.
Kanat Bozumbayev berkata pesawat yang membawa 67 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Baku, Azerbaijan dan dalam penerbangan ke Grozny, Chechnya, lapor AFP.
“Keadaan tidak begitu baik, 38 mangsa maut,” katanya mendakwa pesawat itu tersasar dari laluannya ke Laut Kaspia sebelum terhempas di Aktau, Kazakhstan.
Rakaman dari laman sesawang Flight Radar menunjukkan pesawat itu pada awalnya berada pada laluan asal sebelum berlegar di Laut Kaspia dan terhempas di Aktau.
Pihak berkuasa Kazakhstan memaklumkan 29 mangsa terselamat dalam insiden itu termasuk tiga kanak-kanak yang kini sedang dirawat di hospital.
Katanya, pesawat itu membawa 62 penumpang dan lima anak kapal yang terdiri daripada 37 warganegara Azerbaijan, Kazakhstan (6), Kyrgyzstan (3) dan Rusia (16).
Syarikat penerbangan Azerbaijan mendakwa pesawat malang itu pada awalnya mahu mengelak sekawan burung namun menarik balik dakwaan itu.
Pejabat Pendakwa Raya Azerbaijan berkata satu pasukan siasatan sudah ditubuhkan dan dikerah ke kawasan tragedi di Kazakhstan.
“Kami tidak boleh mendedahkan hasil siasatan pada masa ini. Pelbagai senario sedang dikaji dan analisis pakar berkaitan sedang dibuat.
Pasukan pendakwa raya Kazakhstan, Timur Suleymanov pula mengesahkan kotak hitam pesawat sudah ditemui di tapak nahas.
Seorang saksi kejadian, Elmira mendakwa dia berada berhampiran kawasan nahas dan dapat memberikan bantuan kepada mangsa yang terselamat.
“Mereka diselubungi darah dan menangis. Mereka memanggil meminta tolong. Saya masih teringat wajah mereka yang dalam kesakitan,” katanya.
Presiden Azerbaijan, mengumumkan hari ini sebagai hari berkabung untuk negara itu selain membatalkan lawatan kerjanya ke Rusia.
Ilham Aliyev turut menggesa siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian pesawat terhempas.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI