Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 24 Jamadil Akhir — Aktivis politik Chegubard menggesa pihak polis mengeluarkan surat rasmi mendakwa negara ini diperintah mirip ala Korea Utara.
Chegubard, nama popular Badrul Hisham Shaharin, berkata gesaan itu dibuat selepas pihak polis menolak permohonan untuk beliau berceramah di Johor.
“Saya mohon penjelasan dan jika saya sebagai warganegara sudah hilang hak yang dijamin perlembagaan, maka pihak polis sila keluarkan surat rasmi.
“Maklumkan yang negara ini semakin menjadi Korea Utara yang diperintah diktator Kim Jong Non di mana rejim boleh hadkan hak jaminan Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas surat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai yang tidak menyokong programnya esok.
Katanya, surat makluman itu jelas menggambarkan pihak polis gagal memahami kandungan Akta Perhimpunan Aman (APA) yang tidak lagi memerlukan permit.
“Surat polis itu jelas salah dan menunjukkan polis tidak memahami APA dari aspek teknikal dan semangat roh APA 2012 (pindaan 2019) di mana permit tidak lagi diperlukan.
“Saya mengalami masalah berceramah di Johor. Banyak penganjur memaklumkan bila nama saya dihantar maka pihak polis ‘nasihatkan’ supaya saya tidak dilibatkan.
“Malah di Johor pengalaman saya pernah diekori rapat secara fizikal pasukan polis dalam pergerakan program politik saya,” katanya.
Chegubard berkata walau program ceramah esok tidak mendapat sokongan polis namun ia tetap diteruskan di lokasi asal.
Katanya, tiada apa yang perlu dibimbangkan polis kerana program yang turut dihadiri bekas menteri besar Johor Datuk Sahruddin Jamal itu aman.
“Polis jangan risau program aman, saya rakamkan simpati saya kepada pasukan polis kerana ditekan rejim ketimbang sebegitu rupa.
“Jelas rejim Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah hasut rakyat terbalik kereta polis dan menggelar polis sehingga guna perkataan anjing bila ada kuasa lebih teruk.
“Dengan menunggang kuasa bagi menutup kegagalan mentadbir negara dan menutup jenayah rompakan mereka,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI