Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 24 Jamadil Akhir — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengecam kenyataan Hannah Yeoh yang mendakwa duta tuhan mengajar agama Kristian.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata Menteri Belia dan Sukan memainkan agenda halus dengan menggunakan platform politik di Malaysia.
“Perkara 3(1) bila mana disebutkan agama Islam adalah agama persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
“Hannah perlu faham Perkara 11(4) boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama kepada penganut agama Islam.
“PERKASA menggesa Hannah menjaga segala tingkah laku atau apa juga kenyataan yang boleh mencetuskan kontroversi sensitif kepada umat Islam di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini mengulas kenyataan peguam bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.
Tetuan Azam Aziz & Co yang memetik buku “Becoming Hannah” mendakwa Ahli Parlimen DAP itu mengaku mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia.
Katanya, sekembalinya Hannah ke Malaysia selepas tamat pengajian di luar negara, beliau menjalankan peranannya sebagai duta tuhan untuk menyebarkan ajaran Kristian.
Irwan Fahmi berkata pemimpin Melayu yang berada dalam kerajaan hari ini tidak lagi boleh berdiam diri apabila isu agama disentuh oleh individu yang mempunyai kepentingan tertentu.
“PERKASA tidak hairan dengan sikap segelintir pimpinan DAP yang mahu berdakwah kepada agama Kristian kerana sebelum ini pun Hannah pernah mencetuskan kontroversi.
“Beliau pernah membuat program ke gereja kepada orang Islam terutama generasi muda melalui Kementerian Belia dan Sukan.
“Adakah pimpinan DAP ingin menjadikan agama Kristian sebagai agama untuk menggantikan agama Islam yang sudah termaktub sebagai agama persekutuan negara?” soalnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI