Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 24 Jamadil Akhir — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kakitangan kerajaan tidak boros berbelanja dengan membeli telefon baharu.
Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, kenaikan gaji seharusnya dimanfaatkan dengan pembiayaan yang membawa keuntungan, lapor BERNAMA.
“Jika ingin membuat pinjaman, ia seharusnya untuk tujuan yang memberi keuntungan pada masa hadapan, seperti pinjaman perumahan atau pendidikan anak-anak.
“Bukan untuk membeli telefon bimbit dan sebagainya. Risikonya, penjawat awam mungkin akan menghadapi masalah kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus bermula bulan ini.
Kumpulan pengurusan dan profesional yang memilih skim ini menerima pelarasan gaji lapan peratus pada bulan ini dan tujuh peratus lagi pada bulan depan.
Kumpulan pengurusan tertinggi pula menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus dibayar bulan ini dan tiga peratus lagi bulan depan.
Abdul Rahman berkata kenaikan gaji penjawat awam dibuat tepat pada masanya di saat kos sara hidup kian meningkat saban tahun.
“Apabila tidak disemak, ditambah dengan keadaan ekonomi semasa, ia membebankan dan menggusarkan penjawat awam kerana kos sara hidup yang tinggi.
“Sehingga sukar untuk mencukupi perbelanjaan harian, termasuk untuk rumah,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI