BERSATU desak Anwar gugur Hannah dari jawatan Menteri

Oleh: Azzman Jamal

 

BANGI, Khamis – Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas menggugurkan Menteri Belia dan SUkan, Hannah Yeoh ekoran keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung saman fitnah ke atas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

 

Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan mahkamah itu secara tidak langsung menegaskan bahawa Hannah sememangnya terlibat dengan gerakan evangelism dan usaha mengkristenisasikan negara ini.

 

Katanya, keberadaannya sebagai Menteri Belia dan Sukan memungkinkan penyalahgunaan kuasa, kedudukan, peruntukan, sumber tenaga dan program kementerian dan sebarang peruntukan yang berkaitan untuk melaksanakan serta menyempurnakan misinya sebagai pendakwah, ‘anak Tuhan’ dan ‘Duta Tuhan’.

 

“Buku ‘Becoming hannah’ sememangnya mengandungi unsur-unsur yang disebut oleh Dr kamarul Zaman sebagai ‘satu cubaan untuk memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang yang bukan beragama Kristian, termasuk yang beragama islam, supaya menjadi penganut atau anggota agama Kristian atau supaya cenderung kepada agama Kristian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada 23 Disember lalu, Mahkamah telah menolak saman fitnah yang difailkan Hannah terhadap Musa berkenaan kenyataan yang dibuat semasa satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 30 Januari 2020.

 

Kenyataan itu menyebut kaita bahawa Hannah dikaitkan dengan usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian melalui buku beliau ‘Becoming Hannah dan mempunyai hubungan dengan golongan evangelis dan Yahudi yang boleh merosakkan Islam dan negara.

 

Dalam penghakiman itu, Hakim Arziah Mohamed Apandi mendapati bahawa kenyataan Musa tidak bersifat fitnah dan bahawa Hannah sendiri, melalui bukunya, mengakui peranannya sebagai ‘duta Tuhan’ dan usaha menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia.

 

Mas Ermieyati berkata, tulisan Hannah dalam bukunya yang berbunyi ‘jika kamu bukan seorang Kristian dan sedang membaca buku ini’ (muka surat 14) dan pendedahan mengenai misinya sebagai duta tuhan dan untuk mencari pengikut (muka surat 7) adalah bukti jelas bahawa Hannah memang bermaksud supaya buku beliau turut dibaca oleh bukan Kristian.

 

“Malah, Hannah turut mempromosikan bukunya kepada sesiapa sahaja, di dalam kenyataan media beliau pada 15 Mei 2017 bahawa buku ini ‘boleh dibeli secara atas talian Gerak Budaya atau mana-mana gedung buku utama seperti Kinokuniya, MPH, Popular dan Times’.

 

“Lebih membimbangkan apabila Hannah sendiri mengakui dan mendedahkan betapa dia menggunakan jawatan politik untuk berdakyah di gereja-gereja, kepada pemimpin dunia dan kepada orang muda,” katanya.

 

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, tindakan Hannah itu menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 yang menyebut dan Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan.

 

 Jelas beliau, Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 menyebut, seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderung kepada agama itu.

 

Katanya, perlanggaran Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan pula kerana menyebabkan, atau cuba menyebabkan atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat serta memudaratkan, atau cuba memudaratkan atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan di atas alasan agama.

 

“Justeru, BERSATU ingin menyembah perkara ini kepada pengetahuan dan perhatian Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja Melayu serta memohon pertimbangan agar suatu tindakan tegas dapat diambil ke atas Hannah dan semua pihak yang terlibat dalam gerakan evangelism seperti yang didedahkan Musa.

 

“BERSATU ingin mendesak Anwar mengambil tindakan menggugurkan Hannah dari jawatan awam atas pengakuannya yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

 

“Selain itu, menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas kandungan buku ‘Becoming Hannah’ dan terhadap Hannah serta penerbit bukunya sesuai dengan peruntukan undang-undang negara berkaitan penyebaran agama kepada Umat Islam,” tambahnya

 

IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

TPM Kazakhstan sahkan pesawat terhempas ragut 38 nyawa

Next Post

Sekat ceramah, Chegubard gesa polis akui negara ala Korea Utara

Related Posts