Oleh Wartawan TV Pertiwi
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka memaklumkan tujuh mangsa maut manakala 33 lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Melaka malam tadi.
Mohd Pisar Aziz berkata kemalangan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh arah utara itu berlaku kira-kira 8.45 malam tadi, lapor BERNAMA.
“Lima mangsa merupakan pemandu dan penumpang Toyota Estima membabitkan dua lelaki, dua wanita dan seorang bayi perempuan.
“Manakala dua lagi mangsa seorang pemandu bas persiaran dan penumpang wanita bas tersebut,” katanya.
Beliau berkata nahas itu membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang bersama sebuah treler dan sebuah Toyota Estima.
Katanya, kesemua jenazah dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama, Hospital Alor Gajah dan Hospital Pantai, Ayer Keroh.
“Mangsa mengalami pelbagai kecederaan dan polis masih mengenal pasti kesemua mangsa yang terlibat,” katanya.
Mohd Pisar berkata JBPM Melaka mengerahkan 27 anggota ke lokasi kemalangan yang menyebabkan kesesakan 10 kilometer di kedua-dua arah.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI