Oleh Wartawan TV Pertiwi
Setiausaha Kabinet Indonesia menafikan dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa presiden negara itu tidak hadir ke Pulau Langkawi semalam kerana demam.
Teddy Indra Wijaya berkata Prabowo Subianto berada dalam keadaan sihat namun mempunyai urusan penting untuk berada di Jakarta, lapor Liputan 6.
“Presiden tidak sakit. Ada keperluan penting di Jakarta jadi harus kembali segera,” katanya ketika ditemui pemberita Indonesia di Jakarta semalam.
Anwar mendakwa beliau bersama keluarga sudah berada di Pulau Langkawi bagi menerima kunjungan Prabowo semalam.
Bagaimanapun, katanya, Prabowo menghubunginya pada malam sebelumnya meminta untuk menangguhkan pertemuan tersebut untuk beberapa hari kerana demam.
“Saya mendoakan agar Presiden Prabowo diberi kesembuhan sesegera mungkin sekaligus menyambung rencana pertemuan dua negara,” coretnya di laman Facebook miliknya.
Teddy berkata Prabowo sememangnya berada dalam keadaan sihat pulang dari lawatan kerja ke Mesir.
Katanya, setibanya di Jakarta, Prabowo terus mengadakan mesyuarat dengan jemaah menteri Indonesia di Pangkalan Tentera Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur.
“Tiba saja langsung mesyuarat dan mendengar perkembangan terkini dengan beberapa menteri. Ramai juga tadi merakam videonya saat mendarat dan mesyuarat,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI