Oleh Wartawan TV Pertiwi
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memaklumkan jumlah kutipan zakat pada tahun ini belum mencukupi untuk menampung keperluan asnaf Wilayah Persekutuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata kutipan zakat pada tahun ini baru mencecah RM909.99 juta, lapor BERNAMA.
“Maknanya dari segi agihan kini lebih tinggi daripada jumlah kutipan tetapi MAIWP membantu 34,000 keluarga setiap bulan.
“Sebab itu duit zakat yang kami kutip ini masih belum cukup dan kami masih perlu lebih ramai masyarakat Islam untuk tampil menunaikan kewajipan mereka,” katanya.
Abdul Hakim berkata MAIWP sudah mengagihkan wang zakat RM1.02 bilion kepada asnaf yang layak pada tahun ini namun masih ramai yang perlu dibantu.
Katanya, zakat merupakan instrumen penting dalam ekonomi Islam selain dapat membantu menangani isu kemiskinan bandar, khususnya di ibu negara.
Menerusi zakat katanya, ia boleh berfungsi sebagai wadah untuk mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan membantu mereka yang memerlukan.
“Agihan zakat melalui institusi zakat lebih adil, menyeluruh dan berfokus kepada keperluan asas seperti perumahan, kesihatan, pendidikan, dan pekerjaan.
“Justeru saya seru mereka yang berpendapatan lebih atau cukup syarat wajib perlu menunaikan tanggungjawab zakat kerana dalam rezeki kita ada hak asnaf,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Hakim menyeru umat Islam untuk menunaikan zakat selewat-lewatnya 31 Disember ini bagi merebut peluang memenangi hadiah menunaikan umrah.
Katanya, kaunter zakat MAIWP dibuka setiap hari sehingga 9 malam termasuk cuti umum bermula 23 hingga 31 Disember ini.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI