Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan sisastan terperinci berhubung punca kemalangan yang meragut nyawa tujuh orang semalam.
Beliau berkata, pihak berkuasa juga akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat.
“Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan yang mengakibatkan kehilangan tujuh nyawa tersebut berpunca daripada tayar sebuah lori treler tercabut, menyebabkan bas persiaran mengelak lalu terbabas merempuh tiga kenderaan dari arah bertentangan
“Saya telah mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ segera menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kemalangan tersebut dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori serta bas yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, dilaporkan tujuh orang terkorban manakala sekurang-kurangnya 33 lagi cedera dalam nahas jalan raya di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang AMpat di Alor Gajah.
Dalam pada itu, Loke turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan terbabit.
“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselematan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” tambahnya
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI