Oleh Wartawan TV Pertiwi
Pengarah Hospital Kamal Adwan menggesa campur tangan antarabangsa selepas Israel berterusan menyerang hospital yang terletak di bandar Beit Lahia itu.
Dr Hossam Abu Safiyeh berkata serangan dan pengeboman berterusan Zionis menyebabkan kerosakan besar kepada hospital, lapor AFP.
“Pagi ini, dron menggugurkan bom di halaman dan bumbung hospital. Tembakan itu turut memusnahkan rumah dan bangunan berhampiran, ia tidak berhenti sepanjang malam.
“Peluru terkena Unit Rawatan Rapi (ICU), wad bersalin dan jabatan pembedahan sekaligus menyebabkan ketakutan dalam kalangan pesakit.
“Dunia mesti faham, hospital kami menjadi sasaran dengan niat mereka untuk membunuh dan memindahkan orang di dalamnya secara paksa,” katanya.
Beliau semalam mendakwa Israel mengarahkan ratusan pesakit di hospital itu dipindahkan agar pusat rawatan itu dapat ditutup.
Katanya, arahan itu amat sukar untuk dilaksanakan di saat serangan berterusan Israel dan kekurangan ambulans untuk memindahkan pesakit.
Hossam berkata keadaan di Hospital Kamal Adwan kini amat berbahaya dan menakutkan berikutan tembakan berterusan tentera Israel.
Katanya, hospital yang sedang merawat 91 pesakit itu sudah menjadi sasaran dron Zionis sejak semalam selain penjana elektrik hospital turut menjadi sasaran tembakan.
“Kami menghadapi ancaman berterusan setiap hari. Serangan berterusan dari semua arah.
“Keadaan ini amat kritikal dan memerlukan campur tangan segera antarabangsa sebelum terlambat,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI