Oleh Wartawan TV Pertiwi
Israel semalam mengakui terlibat dalam insiden pembunuhan bekas ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Menteri Pertahanannya, Israel Katz membuat pengakuan itu ketika memberi amaran kepada kumpulan pejuang Houthi di Yaman, lapor AFP.
“Kami akan menyerang Houthi dengan keras dan memenggal kepala mereka seperti yang kami lakukan kepada Haniyeh, Yahya Sinwar dan Hassan Nasrallah di Tehran, Gaza dan Lubnan.
“Kami akan melakukannya di Hodeida dan Sanaa,” katanya.
Beliau membuat pengakuan itu dalam satu acara di Kementerian Pertahanan Israel membuktikan negara haram itu terlibat dalam pembunuhan Haniyeh.
Katanya, Israel akan mengambil tindakan tegas terhadap negara yang melakukan provokasi di Baitulmuqaddis.
“Sesiapa yang mengangkat tangan terhadap Israel akan dipotong tangannya.
“Pasukan Penjajah Israel (IOF) akan menyerang dan meminta mereka bertanggungjawab,” katanya.
Israel sebelum ini tidak pernah mengaku membunuh Haniyeh namun Iran dan Hamas bertegas penglibatan negara haram itu.
Haniyeh terbunuh di sebuah rumah tamu di Tehran pada 31 Julai lalu berpunca daripada alat letupan yang diletakkan Israel beberapa minggu sebelumnya.
Israel juga didakwa membunuh Nasrallah pada 27 September lalu dalam satu insiden pengeboman di Beirut diikuti pembunuhan Sinwar di Gaza pada 16 Oktober lalu.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI