Oleh Wartawan TV Pertiwi
Bakal disandingkan esok, seorang guru sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) yang mengaku bersalah mendera bayi 11 bulan berjaya menangguhkan hukuman.
Tertuduh, Nur Suhadah Saharudin membuat rayuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Nurul Mardhiah Mohamed Redza, lapor Harian Metro.
“Saya mengaku bersalah dan janji tidak buat lagi. Hari ini adalah hari nikah saya, esok hari sanding saya,” katanya yang bakal didakwa sekali lagi minggu depan.
Nur Suhadah, 24, didakwa mendera seorang bayi lelaki di sebuah taska di Puncak Alam minggu lalu dengan mencubit pipi dan telinga sehingga mendatangkan kecederaan fizikal.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azamuddin Razak hari ini memohon tarikh baharu pada 24 Disember ini bagi sebutan semula kes dan jatuh hukum di Mahkamah Kuala Selangor.
“Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa.
“Kalau ada aduan [mengganggu mangsa] jaminan akan ditarik balik serta-merta,” kata Nurul Mardhiah.
Suspek didakwa mencubit pipi mangsa selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) taska tersebut tular di media sosial.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI