Oleh Wartawan TV Pertiwi
‘Hot Daddy’, nama popular Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, hari ini dilepas tanpa bebas (DNAA) selepas waran tangkap kepada lelaki itu gagal disempurnakan.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Siti Shakirah Mohtaruddin mengeluarkan perintah sama kepada dua lagi rakan wanitanya, lapor Utusan Malaysia.
“Berdasarkan laporan siasatan yang dikemukakan, mahkamah mendapati waran tangkap sudah dikeluarkan sebanyak tiga kali namun masih tidak dapat disempurnakan.
“Direkodkan juga penjamin-penjamin gagal hadir dan gagal memberi sebarang penjelasan ketidakhadiran tertuduh sehingga tarikh hari ini,” katanya.
Ikhwan Arif, 32, bersama dua rakan wanita Norshazrina Md Zamri, 27, dan Norhidayah Mahadi, 24, didakwa di bawah Seksyen 372 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dipenjara hingga 15 tahun, sebat dan denda atas dakwaan persundalan.
Menurut fakta kes, tiga tertuduh itu didakwa mengiklankan khidmat persundalan di aplikasi X menggunakan akaun HotDaddyyXX.
Timbalan Pendakwa Raya hari ini memohon mahkamah untuk melanjutkan tempoh waran tangkap bagi membolehkan pihak polis menjejak lokasi tiga tertuduh tersebut.
Nidzuwan Abdul Latip berkata waran tangkap tidak dapat disempurnakan dan notis kepada penjamin sudah diserahkan namun tiada jawapan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI