Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Jumaat – Parti MUDA menuntut penjelasan ekoran tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas tuduhan rasuah berhubung Visa Luar Negara (VLN).
Dalam satu kenyataan hari ini, parti itu berkata, keputusan tersebut menambah kerosakan kepada kredibiliti AGC yang kini berada pada titik terendah.
Katanya, kes itu menguatkan lagi persepsi bahawa pendakwaan kini digunakan sebagai alat politik, yang mana pihak yang menentang kerajaan seperti pemimpin pembangkang terus disiasat dan didakwa manakala sekutu diberi layanan ‘istimewa’.
“Rakyat pandai melihat semuanya. Melihat pemimpin berprofil tinggi seperti Ahmad Zahid bebas tanpa perlu membela diri. sedangkan rakyat biasa dihukum berat walau untuk kesalahan kecil, menunjukkan sistem yang ralat.
“MUDA menyeru pemimpin muda kerajaan untuk tidak terus berdiam diri.
“MUDA kecewa melihat kurangnya suara lantang daripada generasi muda yang seharusnya membawa pembaharuan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Ahmad Zahid kekal dilepaskan dan dibebaskan atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung sistem VLN.
Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu menerusi panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik rayuan terhadap kes tersebut.
Menurut MUDA, pengguguran kes itu bukan sekadar dilihat sebagai isu politik tetapi berkait dengan integriti, keadilan serta masa depan negara.
“Jika perkara ini dibiarkan, kita hanya akan mewarisi negara yang membenarkan kuasa dan kedudukan membeli kebebasan.
“Jangan biarkan keadilan menjadi barang dagangan. Jika kes Ahmad Zahid boleh digugurkan, apa maknanya undang-undang untuk rakyat biasa?” soalnya sambil menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua kerajaan hari ini.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI