Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Khamis – Syarikat perlatakan sukan badminton terkemuka, Victor Malaysia memohon maaf secara rasmi susulan insiden bendera Malaysia yang dipasang secara terbalik di jersi yang dipakai pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia semalam.
Permohonan maaf itu dikeluarkan di laman sosial rasminya di platform X.
Victor Malaysia berkata, pihaknya kesal dengan kesilapan itu dan tidak berniat untuk menimbulkan kontroversi serta akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan ia tidak berulang.
“Kami dengan rendah hati memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan Lee Zii Jia kerana kesilapan yang tertera pada jersi Lee Zii Jia ketika Jelajah Dunia Akhir BWF hari ini (semalam).
“Kesilapan ini tidak mencerminkan penghormatan kami terhadap Malaysia dan simbol kebangsaannya atau kebangaan dan kehormatan mewakili negara di persada antarabangsa.
“Bendera Malaysia melambangkan perpaduan dan identiti, dan kami kesal terhadap kesilapan yang tidak disengajakan itu.
“Sekali lagi, kami memohon maaf dan menghargai pertimbangan anda,” kata kenyataan itu semalam.
Insiden bendera Jalur Gemilang terbalik pada jersi Zii Jia itu jelas kelihatan di Televisyen ketika beliau menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen.
Jersi pemain ranking lapan dunia itu seperti diketahui umum tidak dibekalkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebaliknya oleh penaja, Victor.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI