Oleh Wartawan TV Pertiwi
Kementerian Luar Qatar memaklumkan negara itu akan membuka semula kedutaannya di Syria selepas kejatuhan presiden Bashar Al-Assad.
Jurucakapnya, Majed Al-Ansari berkata keputusan itu dibuat selepas 13 tahun kedutaan di Syria ditutup pada 2011, lapor agensi berita DPA.
Majed berkata kedutaan itu akan dibuka semula selepas perkara yang dipersetujui dimuktamadkan.
Assad yang menerajui Syria pada 2011 menyebabkan banyak negara Barat dan Arab menutup kedutaan mereka selepas operasi ketenteraan diperluas ke Damsyik.
Qatar menutup kedutaannya pada Julai 2011 selepas kumpulan pro-Assad menyerang bangunan kedutaan sebagai protes terhadap laporan Al-Jazeera.
Sejak insiden itu, Qatar menyokong pemberontak pembangkang menentang Assad yang akhirnya mencetuskan perang saudara.
Kumpulan pembebasan Syria minggu lalu mendakwa berjaya menawan Damsyik sekaligus mengumumkan kejatuhan kerajaan pimpinan Assad.
Mereka mendakwa Assad sudah melarikan diri dengan ratusan banduan dibebaskan daripada penjara yang menempatkan ramai penentang presiden.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI