Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Khamis – Isu pengguguran rayuan bagi tuntutan Pulau Batu Puteh adalah tertakluk kepada prinsip tanggungjawab kolektif Jemaah Menteri, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, walaupun perkara itu dibawa oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam agenda hal-hal lain, ia tidak menghalang mana-mana anggota Jemaah Menteri untuk memberikan pandangan.
“Apabila Jemaah Menteri telah membuat keputusan mengenainya, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota Jemaah Menteri untuk menerima keputusan tersebut secara kolektif.
“Tidak timbul isu soal Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab secara peribadi atas keputusan yang dibuat oleh Kabinet. Ia adalah tanggungjawab bersama,” kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas sebagai maklum balas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) secara bersama iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Anthony Loke hari ini.
Ketika pentadbiran Dr Mahathir pada 2018, Dr Wan Azizah merupakan Timbalan Menteri manakala Mohamad memegang jawatan Menteri Pertahanan dan Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
Muhyiddin pada ketika itu memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tidak wajar Dr Mahathir dihadapkan ke muka pengadilan ekoran keputusan yang disahkan oleh Kabinet ketika pentadbiran ketika itu.
“Soal pengkhiantan kepada negara juga tidak timbul.
“Malah, adalah tidak wajar seorang bekas Perdana Menteri dihadapkan ke muka pengadilan semata-mata atas keputusan kerajaan yang disahkan oleh Kabinet semasa pentadbirannya dahulu.
“Jika ini berlaku, ia adalah satu duluan yang buruk untuk negara,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI