Oleh Wartawan TV Pertiwi
Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Pembaharuan Institusi) menyifatkan pelantikan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara baharu sebagai keputusan “paling bijak”.
Timbalan menterinya, M Kulasegaran berkata Mohd Dusuki merupakan pilihan terbaik selain berkemampuan menggalas tugas diberikan.
“Kerajaan membuat keputusan yang paling bijak dan terbaik berdasarkan senioriti. Beliau berpengalaman dan diiktiraf sebagai seorang peguam yang berkemampuan.
“Saya boleh katakan ini kerana saya sudah berhadapan dengannya dalam banyak kes mahkamah dan beliau berada di atas segalanya.
“Jadi, terdapat kebebasan dan integriti dalam perkara ini,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Jerlun, Abdul Ghani Ahmad yang membawa kebimbangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).
BERSIH mendakwa Mohd Dusuki merupakan pasukan pendakwaan yang melepas tanpa bebas (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
DNAA itu diberikan terhadap 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskan Presiden UMNO tersebut.
Mengulas persoalan itu, Kulasegaran berkata Mohd Dusuki bukanlah individu tunggal yang berada dalam pasukan pendakwaan.
“Terdapat peguam-peguam lain [timbalan pendakwa raya] juga. Beliau adalah salah seorang daripada mereka,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI