Oleh Wartawan TV Pertiwi
Gara-gara menghina penjual minuman dalam satu majlis agama, Utusan Khas Bahagian Kerukunan Beragama Presiden Indonesia mengumumkan peletakan jawatan.
Miftah Maulana Habiburrahman mengumumkan perkara itu menerusi siaran langsung di YouTube CNN Indonesia hari ini.
“Keputusan ini dibuat semata-mata kerana rasa cinta, hormat dan tanggungjawab saya yang sangat mendalam kepada bapa presiden.
“Tindakan ini bukan langkah terakhir saya untuk berkhidmat kepada negara melainkan cara yang lebih luas,” katanya.
Pendakwah kontroversi itu menerusi video tular di media sosial mempersendakan penjual minuman ketika majlis yang dihadiri sejumlah penonton.
Beliau melemparkan perkataan kurang menyenangkan kepada lelaki terbabit yang dilihat menahan malu dengan cacian pendakwah tersebut.
Tindakan Miftah tidak disenangi warga maya termasuk di Malaysia yang berasa kesal dengan penghinaan yang dilemparkan.
Miftah Maulana berkata permohonan maafnya hari ini dibuat secara sukarela tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Prabowo Subianto di atas kesempatan yang diberikan kepadanya selama ini.
“Minta maaf bapa, saya belum jadi seperti yang diharapkan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI