Oleh Wartawan TV Pertiwi
Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperkenalkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) kepada pekerja industri gig.
Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata program yang akan dijalankan oleh GiatMARA itu akan membuka lebih peluang pekerjaan kepada generasi muda.
“Contohnya penghantar makanan dilatih kemahiran selenggara penyaman udara. Sambil hantar makanan, boleh tawar khidmat servis penyaman udara.
“Sampai bila pekerja gig seperti penghantar barangan dan makanan akan terus bekerja dalam industri gig yang lebih berupa sambilan.
“Jika melangkau 40-an dan berkeluarga, waktu itu tenaga sudah kurang. Kalau tidak ada kemahiran atau sijil pendidikan, sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini yang mendapat sokongan penuh warga maya.
Katanya, satu program khas sudah dirumuskan kepada pekerja sektor gig bagi memberi pendedahan sektor teknikal dan vokasional.
“GiatMARA sudah merumuskan satu program latihan TVET buat kumpulan pekerja gig yang boleh sertai program latihan dalam pelbagai kemahiran secara separuh masa.
“Selain daripada memperolehi kemahiran, dapat juga Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf.
“Hari ini melalui Dasar TVET Negara, dengan sijil SKM tahap 3 dan 4 boleh sambung ke peringkat diploma bahkan ke peringkat ijazah,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI