Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Semakan kadar air mentah yang dijual kepada Singapura berdasarkan Perjanjian Air 1962 tidak perlu dirundingkan buat masa ini, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, keputusan itu adalah berdasarkan perbincangan antara kementeriannya bersama Menteri Besar Johor poda Oktober lalu.
Akmal berkata, bekalan air terawat daripada Singapura masih diperlukan untuk memenuhi keperluan air di Johor.
Terdahulu, beliau menjelaskan, kerajaan telah merangka dan sedang melaksanakan projek kebergantungan sifar bagi mengurangkan kebergantungan kepada Singapura.
Jelasnya, antara projek utama adalah pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (YAPS) di Sungai Johor (Sungai Lebak), pembinaan baraj di Sungai Sedili Besar, serta pembinaan loji rawatan air seperti Loji Rawatan Air Layang 2 dan Loji Rawatan Air Semangar 3.
“Projek-projek ini bertujuan meningkatkan kapaasiti simpanan air mentah dan terawat, sekali gus memastikan Johor mampu memenuhi keperluan air secara mandiri dalam jangka panjang.
“Walaupun usaha ini penting, sasaran untuk mencapai kebergantungan sifar menjelang 2030 mungkin tidak dapat direalisasikan sepenuhnya mengambil kira pertumbuhan sektor industri seperti pusat data dan semikonduktor.
“Oleh itu, bekalan air terawat daripada Singapura masih diperlukan untuk memenuhi keperluan air Johor,” katanya ketika sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang meminta kerajaan nyatakan sama ada akan berbincang dengan kerajaan Singapura untuk mengkaji semula Perjanjian Sungai Johor 1962.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, perjanjian itu membenarkan Singapura mengambil sehingga 250 juta gelen sehari (MGD) air mentah daripada Sungai Johor pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen.
Beliau berkata, sebaliknya, Johor membeli air terawat daripada SIngapura pada kadar 50 sen setiap 1,000 gelen.
“Berdasarkan rekod Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Johor kini membeli purata 16 MGD, jauh melebihi kadar 5 MGD yang diperuntukkan dalam perjanjian.
“Ini menyebabkan kos tambahan sekitar RM180,000 setahun ditanggung oleh Johor,” ujarnya.
Tambah Akmal, sebarang perubahan terhadap kadar itu perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat daripada Singapura yang menjadi keperluan kritikal bagi Johor.
“Hal ini penting bagi memastikan sebarang langkah yang diambil tidak membebankan rakyat,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI