Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Ibu bapa kepada pelajar yang meninggal dunia akibat insiden buli di institut pengajian tinggi (IPT) bukan sahaja perlu membuat laporan polis tetapi juga memfailkan saman sivil terhadap pihak institusi dan kakitangan yang bertanggungjawab.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, warden dan kakitangan juga perlu diheretkan ke mahkamah kerana membiarkan kejadian buli berlaku apabila mengabaikan tanggungjawab mereka menjaga keselamatan pelajar.
“Saya merayu kepada pihak ibu bapa yang terkesan, jangan hanya buat laporan polis, tetapi tolong buat saman sivil ke atas institusi tersebut (termasuk) warden dan pegawai terbabit.
“Mereka patut diheret sekali. Pastikan mereka ini dimiskinkan, supaya pada masa akan datang, mereka tidak pandang ke kiri kanan atas bawah, mereka akan terima tindakan secara langsung.
Selagi kita tidak memiskinkan mereka, selagi itu mereka akan bersihkan tangan,” katanya dalam sesi Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.
Syed Saddiq merujuk kepada beberapa insiden buli di IPT termasuk kes Allahyarham Zulfarhan Osman di Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) pada 2022 dan kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini.
Mengulas lanjut, bekas Presiden MUDA itu turut mencabar kerajaan mengambil tindakan drastik dengan merombak semua peringkat jawatan bagi memastikan tida ada lagi nyawa pelajar terkorban.
“Kalau ini berlaku di negara lain, percayalah pemimpin di atas sudah kena pecat, kena buang, kena panggil ke senat (untuk beri penjelasan).
“Di Malaysia didiamkan. Ambil tindakan yang betul-betul drastik supaya tidak ada nyawa lagi yang mati, itu cadangan,” katanya sebelum menamatkan sesi perbahasannya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI