Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Jumaat – “Penyakit lain, tapi diberi ubat lain,” demikian reaksi Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin berhubung cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya, Universiti Pertanian Malaysia.
Radzi yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, Mohamad sebagai seorang menteri seharusnya tumpu kepada isu yang lebih penting dan kritikal bagi rakyat seperti menangani ketiadaan beras putih tempatan di pasaran.
Katanya, cadangan menukar nama universiti itu tidak membawa faedah terutama dalam isu yang sedang dihadapi rakyat pada masa ini.
“Inilah masalahnya, isunya lain, sakitnya lain, dia (Mohamad) pergi beri ubat lain.
“Isu yang lebih penting dan kritikal yang rakyat cakap di luar sana banyak antaranya ketiadaan beras putih tempatan. Selesaikan yang itu dulu,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di media sosial semalam.
Semalam, media melaporkan cadangan untuk menukar nama UPM kepada nama asalnya akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Mohamad berkata, beliau sendiri akan membawa cadangan itu ke Mesyuarat Kabinet tidak lama lagi selepas mengambil kira keutamaan negara kini yang tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI